Skip to main content

Kuala Lumpur Ke arah Bandaraya Moden, Selamat

Rencana yang saya petik dari Berita Harian sebagai penanda 100 hari menjawat tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Kuala Lumpur Ke Arah Kota Raya Moden, Selamat





HARI ini genap 100 hari saya bertugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Selaku menteri baru di dalam Kabinet kerajaan, sememangnya tugas dan tanggungjawab yang saya galas ini amat berat dan mencabar.
Pertama saya terpaksa berdepan pelbagai masalah harian kota metropolitan Kuala Lumpur seperti isu setinggan, kemiskinan bandar, kesesakan lalu lintas, banjir kilat, penjaja dan banyak lagi yang semuanya berhubungkait rapat dengan kebajikan rakyat serta warga kota.
Keduanya, saya perlu meneruskan pembangunan yang sudah dirancang sebelum ini dan memastikan ia dapat segera dilaksanakan dengan baik dan lancar supaya setiap lapisan rakyat merasai manfaatnya.
Kedua-dua cabaran ini memerlukan komitmen dan kesungguhan, khususnya dalam mendepani masalah rakyat selain melaksanakan perancangan dengan begitu teliti dan realistik untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf kelas pertama.
Selaku menteri yang dipertanggungjawabkan, maka saya dalam jangka masa 100 hari ini sudah berusaha memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin, bersandarkan gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Oleh kerana saya sudah berkecimpung dalam politik di bandar raya ini lebih 20 tahun, saya sedikit sebanyak memahami permasalahan dihadapi warga kota. Sebaik memulakan tugas, langkah pertama saya ialah turun padang untuk meninjau sendiri agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ini termasuk semua jabatan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya. Tinjauan dari dalam ini bertujuan mendapat gambaran lebih jelas mengenai peranan setiap agensi selain memahami sendiri kekangan dihadapi mereka selama ini.
Dengan cara ini, kami sama-sama dapat mencari pendekatan terbaik untuk mengatasi atau mengurangkan masalah dihadapi, seperti cara mengurangkan masalah trafik, penguatkuasaan, perumahan, pengangkutan awam, tempat letak kereta, penjaja dan lain-lain lagi.
Selaras dengan harapan rakyat dan kerajaan, saya berhasrat melonjakkan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya kelas pertama di samping berusaha menyelami masalah penduduknya. Namun, banyak perkara asas ke arah pembaikan dan kemajuan perlu dilakukan. Atas dasar itu, saya mengilhamkan visi 7P merangkumi:
(1) Pembangunan lebih teratur lagi sistematik bagi mencapai kemajuan yang benar-benar dapat dirasai setiap lapisan masyarakat, termasuk pelabur asing;
(2) Perumahan bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah;
(3) Penjaja dan peniaga kecil diberi ruang seluas-luasnya untuk meningkatkan pendapatan serta membantu golongan wanita dan generasi muda menjalankan perniagaan berlesen;
(4) Pengangkutan yang menjadi pemangkin dalam mengurus kemudahan awam di bandar yang kini semakin mencabar;
(5) Penyelenggaraan prasarana dan kemudahan awam untuk rakyat turut diberi perhatian utama;
(6) Perkhidmatan dan penguatkuasaan yang menekankan perkhidmatan mesra rakyat terutama dari segi penguatkuasaan, dan
(7) Prihatin dalam soal kebajikan dan masalah penduduk kota, termasuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial selain menghayati masalah dihadapi warga kota.
Saya sudah mengupas dan memperinci konsep 7P ini dalam mesyuarat pertama saya bersama pegawai agensi di bawah kementerian. Sebagai bekas presiden NGO ekonomi, saya rasa kementerian wajib menyediakan landasan untuk mendengar suara rakyat sama ada melalui dialog dengan persatuan dan NGO atau secara langsung menggunakan teknologi internet terkini seperti Facebook atau Twitter.
Untuk rakyat, fokus utama saya ialah memberi perhatian kepada warga kota berpendapatan rendah. Golongan miskin bandar atau ‘misban’ ini wajar dibela dan diperjuangkan kerana kita mahu mewujudkan suasana hidup lebih saksama selain menyediakan gelanggang sama rata.
Dalam hal ini, keutamaan saya ialah menyelesaikan masalah perumahan warga kota dan tapak niaga untuk penjaja kecil. Kedua-dua ini saya anggap penting kerana membabitkan secara langsung keperluan rakyat, sekali gus dapat menyelesaikan masalah setinggan dan membasmi kemiskinan bandar.
Masalah perumahan yang merangkumi setinggan dan penempatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun dua ini. Sehingga kini seramai 4,833 keluarga setinggan yang menetap di tanah kerajaan sekitar Kuala Lumpur masih belum berpindah ke PPR. Saya mensasarkan usaha menjadikan Kuala Lumpur setinggan bebas dapat dicapai menjelang 2010.
Saya juga memandang serius masalah pemilik atau penghuni unit di pembangunan strata terutama dalam aspek penyelenggaraan. Sehingga kini, ada kira-kira 236,000 unit kediaman dan perdagangan di bangunan strata di Wilayah Persekutuan.
Kerajaan sudah mengumumkan peruntukan RM25 juta untuk membaikpulih dan menaik taraf enam PPR di sekitar Kuala Lumpur di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Kedua. Kerja berkenaan sudah mula dilaksanakan di Vista Angkasa, manakala lima lagi bakal menyusul ialah Sri Tioman 2, Gombak 2, Keramat Jaya 2, Setapak Jaya 1B dan Kondo Rakyat. Saya sendiri akan memantau projek ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.
Langkah penjualan PPR seperti diumumkan Perdana Menteri juga sedang diperhalusi dan dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh tiga bulan lagi. Isu diketengahkan persatuan penduduk turut diambil kira, terutama melalui sesi dialog saya bersama mereka, termasuk dari Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak Hilir, Pangsapuri Suci (Swasta) di Jalan Klang Lama, Jinjang Selatan Tambahan dan Penempatan India Pandan.
Bagi tapak berniaga pula, saya bertekad mahu memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah atau miskin mendapat ruang berniaga di tempat strategik agar dapat membantu menjana pendapatan mereka. Langkah ini penting khususnya dalam keadaan ekonomi yang agak suram sekarang ini.
Namun keutamaan sudah tentu akan saya berikan kepada penjaja tulen. Selain itu, masalah penjaja pasar juga perlu diberi perhatian. Saya sudah melakukan tinjauan mesra di tiga pasar utama iaitu Pasar Keramat, Pasar Pudu dan Pasar Jalan Petaling.
Melalui sesi dialog bersama golongan ini, banyak permasalahan yang timbul berjaya kita atasi bersama dalam suasana ‘menang-menang’. Sebagai langkah mengenal pasti masalah harian rakyat secara lebih dekat, saya banyak meluangkan masa turun padang berjumpa orang ramai, selain memantau sendiri kemajuan pembangunan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Saya berpeluang mendapat maklum balas dan menyaksikan sendiri permasalahan dihadapi pengguna, khususnya mengenai pengangkutan awam ketika lawatan bersama agensi pelaksana seperti DBKL, LPKP dan Kementerian Kewangan di Puduraya, Petaling Street, Putrajaya Sentral serta Rancangan Penyuraian Trafik di Brickfields dan Jalan Hang Jebat.
Saya lakukan ini kerana percaya laporan yang diterima di bilik berhawa dingin tidak sama jika kita tidak melihat serta mendalami sendiri masalah rakyat. Saya juga menekankan kepentingan konsep turun padang ini kepada penjawat awam, antara lain saya meminta Datuk Bandar turun ke setiap kawasan Parlimen tidak kira yang diwakili kerajaan atau pembangkang.
Perkhidmatan kementerian perlu menjangkaui kepentingan politik, dan setiap rakyat harus diberikan pembelaan sewajarnya. Langkah membanteras jenayah di ibu kota juga tidak kurang pentingnya. Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan sudah pasti membabitkan Kementerian Dalam Negeri serta pelbagai agensi lain.
Saya mahu melihat Kuala Lumpur bukan saja muncul sebagai bandar raya kelas pertama, malah turut menjadi sebuah kota yang selamat dan bebas daripada ancaman jenayah. Saya sedar, saya tidak akan mampu memuaskan hati setiap warga kota dalam melaksanakan usaha ini. Namun, saya akan memastikan segala pertimbangan dan keputusan, mesti mengambil kira kepentingan ramai, bukan hanya untuk sekelompok kecil penduduk.
Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ialah Menteri Wilayah Persekutuan

Comments

Popular posts from this blog

Budaya Rasis Di Mana-mana?

Aku tergerak nak menaip hari ni lepas tengok beberapa video kat Youtube antaranya video di Malaysia dan Singapura. Kita Sedia maklum yang kedua-dua buah negara ini pernah berada di bawah satu bumbung dalam mencapai kemerdekaan, tetapi berlaku detik-detik perpisahan lantaran sebab yang tidak dapat dielakkan. Ok, Di Malaysia majoritinya kaum Melayu manakala selebihnya Cina, India dan masyarakat Peribumi Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Di Singapura majoriti adalah Cina dan selebihnya Melayu, India dan pekerja-pekerja asing yang menetap serta diberikan taraf kewarganegaraan Singapura. Kedua-dua negara ini saling bersaing dalam membangunkan negara ibarat duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah. Malaysia mencapai kemajuan yang pesat semasa bekas perdana Menteri a.k.a Bapa Pembangunan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Dengan kebijaksanaan beliau negara membangun dengan begitu pesat dan berjaya sehingga masyarakat berbilang kaum hidup dengan harmoni walaupun terdapat beberapa kes terpencil melib...

Cara Melepasi Sekatan Website Di Universiti, Sekolah dan Pejabat

  Masalah sekatan oleh admin di Universiti, Sekolah, dan Pejabat kadang-kadang membuatkan kita boleh rasa stress, macam nak hempuk je kepala admin yang kaki block ni. Memang tak dinafikan mereka bertujuan baik untuk mengelak pengguna melayari laman web pronografi, download benda-benda tak senonoh, selain itu, sekatan website tertentu pada masa office hour juga bertujuan untuk membuatkan pekerja memberi fokus sepenuhnya pada kerja selain untuk mengelakkan line internet menjadi perlahan lantaran ramai membuka laman web youtube dan sebagainya. Tetapi,ada tetapinya,kalau dah sume website kena block, ape kes?? macam laman perkongsian file, yang menyediakan fungsi upload file untuk tujuan simpanan, mana tau kan,tetiba hard disk komputer kong, ada backup. Kena Block jgk.. Penyelesaian konkrit.... (Update 2016) langkah pertama bagi pengguna Windows XP,Vista,7,8.1 dan 10 boleh memuat turun software Psiphon di link ini  psiphon  Software ini juga menyokong...

Syurga Atau Neraka?

  Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: “Mengapa aku melihat kau berubah muka?” Jawabnya: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.” Lalu nabi s.a.w. bersabda: “Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.”   Jawabnya: “Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya k...